Dalam merancang kewangan, kita harus bertanya kepada diri sendiri tentang harapan, masa depan dan matlamat kita.
Pengurusan kewangan
amat penting dalam kehidupan. Namun begitu secara umumnya, rakyat
Malaysia didapati tidak menguruskan kewangan mereka dengan cekap. Ini
berdasarkan statistik yang menunjukkan bahawa 50% daripada pemegang kad
kredit yang diisytiharkan bankrap adalah di bawah umur 30 (Malay Mail,
15/6/2009). Pada umur yang muda, mereka sudah jadi muflis. Agensi
Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam laporannya menyatakan
golongan inilah yang menghadapi masalah menyelesaikan hutang, 27%
menyatakan bahawa mereka hilang kawalan akan kegunaan kad kredit mereka
dan 22% menyatakan bahawa mereka menghadapi keadaan susah kerana
pengurusan lemah.
Menurut kajian yang dikendalikan oleh Citibank (The Star, 19/2/2009) pula:
• 37% responden menyatakan bahawa mereka agak bimbang akan masa hadapan kewangan mereka;
• Secara purata, rakyat Malaysia mempunyai simpanan hanya untuk sebelas minggu sahaja;
• Sejumlah 12% menyatakan bahawa mereka tidak menabung sama sekali;
• Sejumlah 66% tidak yakin dengan simpanan persaraan mereka;
• Hanya 22% mempunyai rancangan persaraan yang formal;
• Walaupun 86% menyatakan bahawa mereka cuba mematuhi bajet, hanya 28% berjaya mematuhi bajet mereka; dan
• Lebih 25% tidak pernah berfikir atau memulakan rancangan persaraan mereka.
Di dalam kaji selidik yang dikendalikan oleh Malay Mail (14/10/2008) bertajuk, “Generation Y just doesn’t care – What recession? It is a non-event for young Malaysians” melaporkan bahawa, walaupun Malaysia mengalami kegawatan pada ketika itu:
• Belia masih berbelanja RM 300 – RM 500 sebulan untuk hiburan dan riadah;
• Mereka terlalu suka untuk membeli belah sehinggakan dilabelkan sebagai “dream consumers”; dan
• Ramai memiliki telefon bimbit yang mempunyai teknologi yang terkini
Dalam satu kagi kajian yang dilakukan oleh CIMB (11/11/2008),
terdapat 93% yang ditemuduga menyatakan bahawa mereka sedar akan
keperluan pengurusan kewangan. Maka jelaslah bahawa pengguna Malaysia
harus dididik dan dilatih dalam pelbagai aspek perancangan dan
pengurusan kewangan.
Dalam merancang kewangan, kita harus bertanya kepada diri sendiri
tentang harapan, masa depan dan matlamat kita. Sebagai contoh,
peristiwa-peristiwa yang kita akan lalui termasuk membeli rumah, membeli
kereta, berkahwin, mendapatkan anak, pendidikan anak, melancong dan
bersara.
Dalam setiap fasa kehidupan, kita sering mempunyai kepentingan,
tanggungjawab dan kehendak kewangan yang berbeza. Setiap peringkat hidup
memberikan kita peluang dan cabaran yang berbeza. Apabila kehidupan
kita berubah, maka kehendak dan keperluan kita juga berubah. Perancangan
kewangan menyediakan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran
hidup ini.
Melalui perancangan kewangan kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat
belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh yang
tertentu.
Sekiranya kita merancang kewangan dengan cekap, kita akan merasakan
bahawa kita berupaya untuk mengawal kewangan kita dan memastikan kita
akan berbelanja mengikut kemampuan yang sebenar. Selain itu dapat
menguruskan hutang dengan baik serta mengelak daripada kesan-kesan
negatif seperti menjadi muflis atau bergantung kepada orang lain seperti
ibu bapa atau anak-anak kita.
Kita juga akan mempunyai perhubungan sosial yang baik dengan ahli
keluarga, kawan dan rakan-rakan sekerja kerana anda tidak meminjam wang
daripada mereka setiap kali anda mempunyai masalah kewangan.
Kita juga akan merasa bebas daripada masalah kewangan kerana kita telah
merancang akan keperluan masa hadapan serta mempunyai tabungan atau
insurans untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kita dapat mencapai matlamat hidup bukan sahaja untuk diri kita sendiri
tetapi juga untuk keluarga. Maka dengan membuat perancangan kewangan,
kita akan menyedari akan keperluan masa kini dan masa hadapan,
sumber-sumber kewangan yang dimiliki serta sumber kewangan yang
diperlukan serta cara sebaik mungkin untuk memperolehi sumber. Yang
penting sekali, kita akan merasa tenang dan memperolehi keamanan dalam
kehidupan anda.
– AKPK |
No comments:
Post a Comment